Masalah tanggungan hutang dan kegagalan mengurus kredit dengan baik sebenarnya bukan hanya dihadapi oleh penjawat awam bahkan juga kepada tidak kurang daripada 1.72 juta orang melayu yang telah dewasa dan pencari pendapatan yang aktif di Malaysia. Kakitangan awam amat bernasib baik kerana jaminan pendapatan tetap dan majikan iaitu kerajaan yang tentunya teguh sudah pasti memudahkan mereka mendapat pinjaman dari semua arah. Tidak semua rakyat Malaysia khususnya orang melayu memperolehi kemudahan ini. Kerana wujudnya kemudahan sedemikian rupa, ada di antara penjawat awam ini yang telah menyalahgunakan bukti pendapatan mereka itu untuk memperolehi wang pinjaman. Tetapi perkara sedemikian tidak dapat dielakkan dalam sesetengah perkara. Tuntutan keperluan semasa, kenaikan harga barangan, tanggungan hutang, kecemasan, pendidikan anak-anak dan lain-lain lagi telah memaksa mereka mengambil jalan mudah dengan meminjam seboleh-bolehnya tanpa mengira akibatnya.
Persoalannya di sini adalah apakah terdapat jalan penyelesaiannya? Jawapannya sudah tentu ada. Terdapat dua cara mengatasi masalah ini. Satu adalah menerusi penyelesaian mikro manakala cara lainnya adalah berbentuk makro iaitu dengan kerjasama kerajaan. Bagaimanapun pada kali ini penyelesaian secara mikro iaitu penglibatan individu-individu yang di dalam kategori ”masalah” sahaja yang akan diketengahkan. Sekiranya terdapat minat untuk mencari penyelesaian makro, perkara ini boleh diterangkan dengan lebih lanjut lagi. Bagaimanakah penyelesaian mikro atau berkaitan individu ini? Jawapannya adalah menerusi kreativiti dan inovasi perancangan kewangan.
Apakah itu perancangan kewangan? Perancangan Kewangan adalah satu proses di mana seseorang individu merancang masa hadapan dalam memenuhi matlamat peribadi dan kewangan melalui pembangunan dan perlaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh. Secara ringkasnya ia adalah ”personal corporate finance”. Ia merupakan suatu ilmu dan industri yang terpenting dalam kehidupan.
Rakyat Malaysia pada dasarnya masih tidak diberi pendedahan secukupnya mengenai perkara ini. Benar, separuh daripada manusia terkaya di dunia adalah perancang kewangan. Nama-nama seperti Warren Buffet (pemilik AIG Group) orang kedua terkaya di dunia dan keluarga Waltons (asasnya pemilik Wal-Mart)di mana 4 orang ahli kelurganya adalah antara 10 terkaya di dunia pada amnya adalah perancang kewangan yang boleh dijadikan contoh. Tujuh aspek utama dalam perancangan kewangan adalah meliputi aliran tunai, perbankan, hartanah, saham/ekuiti, insurans, cukai dan peninggalan harta (estate planning).
Asas perancangan kewangan adalah simpanan. Dengan adanya simpanan, seseorang itu boleh membentuk “platform” dengan mudah. Bagaimanapun tidak semua orang mempunyai tabiat menyimpan yang baik. Oleh itu cara alternatif yang boleh digunakan adalah dengan meminjam. Dengan kecairan yang tinggi dan kadar faedah yang rendah sekarang ini, bank adalah opsyen yang mudah dan murah bagi membentuk “platform” atau dengan kata lain, modal, bagi memulakan langkah merancang kewangan. Penubuhan platfom (modal) merupakan tunggak kepada perancangan kewangan yang menyeluruh.
Bagaimanapun, untuk menubuhkan sebuah platfom yang baik menerusi meminjam (leveraging) seseorang itu perlu mengetahui beberapa prinsip asas pengurusan kredit. Pada dasarnya platform boleh dibentuk daripada 3 sumber pendapatan, samada menerusi simpanan sendiri (tunai), pemberian (pinjaman) keluarga dan cara kebiasaan yang ramai menggunakannya yakni menerusi pinjaman daripada institusi kewangan. Manakala melalui pinjaman ini pula, individu boleh memperolehinya menerusi 3 cara juga iaitu, pinjaman peribadi, overdraf (tanpa cagaran) dan pinjaman tetap(kebiasaannya pinjaman perumahan).
Bagi individu yang ingin membina paltfom melalui cara meminjam (leveraging) ini, mereka harus memahami pengiraan kadar faedah. Sesebuah pinjaman itu terbahagi kepada 2 yang merangkumi pokok (prinsipal) dan faedah (interest). Pokok harus dibayar, tiada cara lain. Tetapi faedah boleh dielak sekiranya kita mengetahui cara pengiraannya. Terdapat 4 jenis pengiraan faedah iaitu, kadar tetap(flat rate), kebiasaannya untuk pembelian kereta atau pinjaman peribadi, kadar tahunan (yearly rests), kadar ini digunakan untuk sesetengah pembelian konsumer, kadar bulanan (monthly rests) untuk pembelian rumah(pinjaman perumahan kerajaan dan swasta) dan kadar harian (daily rests) yang digunakan untuk kemudahan overdraf dan sesetengah pinjaman perumahan swasta. Kadar faedah yang menguntungkan kita adalah kadar harian (daily rests). Ini adalah kiranya kadar sebenar (effective rate) untuk pengiraan kadar harian adalah yang paling murah.
Bagaimanpun sebelum seseorang itu meminjam persoalan pertama yang harus dijawab adalah bagaimana hendak membayarnya? Menerusi kreativiti perancangan kewangan, modal menerusi pinjaman untuk pembentukan platfom terlebih dahulu dilaburkan ke dalam alat pelaburan yang memberi pulangan serta boleh disandarkan untuk mendapatkan kemudahan overdraf. Dengan cara ini, pulangan menerusi pelaburan dengan hanya pulangan (anggaran) 8% setahun dikompaunkan untuk 8 tahun, cukup untuk membayar pinjaman tanpa perlu membayarnya. Kemudahan Overdraf boleh digunakan sebagai platfom.
Setelah pembentukan platfom (modal) ini, seseorang itu boleh melaksanakan perkara-perkara seperti berikut:-
* Menyelesai/mengurangkan hutang
* Untuk memenuhi keperluan tuntutan semasa.
* Penyediaan tabungan kecemasan
* Keperluan pendidikan anak-anak.
* Melawan kenaikan harga/inflasi.
* Penyediaan menghadapi persaraan.
Adalah salah jika anda diberitahu bahawa berhutang itu bagus. Hidup akan lebih bermakna dan mudah jika kita tiada bebanan hutang. Bagaimanapun masalahnya adalah mampukah kita membayar pembelian kita seperti membeli kereta, rumah dan lain-lain perbelanjaan yang mahal dengan tunai? Perancangan kewangan yang berjaya akan membolehkan kita melabur dan merancang tanggungan hutang kita dengan sempurna. Hasilnya nanti akan membolehkan kita membentuk kekayaan.
Bagaimanapun ramai antara kita gagal mengumpul kekayaan disebabkan oleh masalah hutang. Dalam budaya meminjam khususnya di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia ini, jika boleh mereka tidak mahu meminjam, jika meminjam pula mereka tak mahu bayar. Ini merupakan satu sikap yang salah. Sepatutnya kita harus mempunyai sikap, jika perlu berhutang, hutang harus diselesaikan dengan segera. Kegagalan memenuhi faktor ini dan mengurus hutang dengan baik telah menyebabkan ramai orang tersungkur sebelum sempat memulakan langkah pertama membina kekayaan. Kebebasan kewangan pada asasnya adalah bebas daripada hutang.
No comments:
Post a Comment