Thursday, February 10, 2011

Pengurusan kewangan dan kepentingannya

Pengurusan Kewangan adalah berkenaan dengan perancangan pendapatan dan perbelanjaan anda. Ianya melibatkan keputusan kewangan yang bijak untuk membolehkan anda terus mencapai matlamat kewangan anda. Skop pengurusan kewangan merangkumi:
  • Perancangan kewangan dan bajet
  • Penyimpanan rekod dan perakaunan kewangan
  • Analisa pendapatan dan perbelanjaan
  • Keputusan kewangan berhemah
  • Mengambil tindakan untuk memperbaiki situasi kewangan anda
Ringkasnya, definisi pengurusan kewangan adalah merancang perbelanjaan, iaitu merancang untuk masa depan dan dalam masa yang sama menyelesaikan masalah kewangan anda. Dengan adanya pengurusan kewangan yang mantap, anda boleh:
1. Mencapai matlamat kewangan anda
  • Kebolehan mengurus wang anda dengan bijak merupakan satu kemahiran yang penting supaya anda boleh berbelanja mengikut kemampuan anda dan mencapai matlamat kewangan anda. Anda perlu mengawal kewangan dan cara anda menggunakan wang anda pada hari ini akan memberi kesan terhadap cara anda hidup pada masa akan datang.
2. Bebas daripada bebanan hutang
  • Tambahan lagi, terdapat kemungkinan bagi anda untuk menghadapi masalah kewangan akibat peristiwa di luar kawalan anda seperti penyakit, kehilangan sumber pendapatan dan kecemasan keluarga. Dana kecemasan amat berguna dalam situasi ini. Ianya dapat membantu anda elak daripada terjebak dalam hutang kad kredit atau meminjam daripada ah long.
Dibawah adalah hasil kajian di Malaysia yang menunjukkan bahawa tahap kesedaran orang ramai mengenai pengurusan kewangan yang mantap masih rendah:
“72% Pencarum KWSP menghabiskan wang simpanan mereka dalam masa 3 tahun sahaja…”
- Tan Sri Abdul Halim Ali, Mantan Pengerusi Lembaga KWSP
79% Rakyat Malaysia Berbelanja melebihi 10% daripada pendapatan tahunan mereka…
Manakala 15% lagi berbelanja melebihi 40% daripada pendapatan tahunan mereka…”
– Kajian Oleh Mastercard Worldwide ke atas Indeks Keutamaan Pembelian Pengguna
Kira-kira 60 peratus daripada pemilik kad kredit di negara ini menjelaskan pinjaman mereka mengikut masa ditetapkan. Selebihnya, 40 peratus pemilik kad kredit di negara ini gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah RM18.6 bilion (statistik Oktober 2006).
Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diisytiharkan muflis. Kira-kira 30 peratus kes muflis membabitkan pemegang kad kredit. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis ialah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun.
Sumber : Bank Negara Malaysia
“Ramai yang tiada dana kewangan untuk hari tua…”
-Kajian Oleh CIMB Aviva

No comments:

Post a Comment